OGOS 2024

MA63 Tidak Seharus Ditafsir Berdasarkan Sentimen Kenegerian


KUCHING: Perjanjian Malaysia (MA63) tidak seharusnya ditafsirkan berdasarkan sentimen kenegerian dan perspektif politik kepartian yang sempit.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini membabitkan beberapa perkara yang terkandung di dalam MA63 yang juga tidak seharusnya dipertikaikan.

"Beberapa perkara yang terkandung di dalam Dokumen-Dokumen Perlembagaan berhubung MA63 yang tidak seharusnya dipertikaikan, dan ditafsirkan oleh beberapa pihak berdasarkan sentimen kenegerian, serta perspektif politik kepartian yang sempit,"katanya. 

Beliau berkata demikian dalam syarahan dengan tema “Literasi Sejarah Membijaksanakan Bangsa” pada Syarahan Negarawan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, ini boleh memudaratkan keutuhan persefahaman dan keharmonian hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, beliau juga menambah memang masih wujud kalangan tidak begitu memahami roh dan semangat MA63 di samping ada pihak memanipulasi dan mensensasikan perkara tersebut, seolah-olah menggambarkan orang Sarawak dan Sabah sangat ekstrem dalam perjuangan menuntut hak mereka.